Thursday 21 April 2011

Apa khabar anak babah?



Diam tak diam sudah hampir 6 bulan aku tak bertemu anak kesayangan. Kali terakhir aku berjumpa dengan anak kesayangan pada bulan Oktober tahun lepas. Rindunya hanya tuhan yang tahu.

Sejak itu juga sudah tiga kali anak aku demam dan selsema tapi aku masih belum mampu berjumpa kerana ada halangan peribadi. Sebetulnya aku rasa cukup bersalah, bukan aku abaikan tanggungjawab aku sebagai seorang ayah tapi ada perkara penting lain yang menghalang.

Aku juga ada bertanyakan khabar berita melalui SMS dan panggilan telefon. Tiapkali aku berbual dengan anak, suaranya kedengaran sedih. Pernah satu masa aku bertanya pada anak samada sudah makan atau belum tapi anak aku menjawab ringkas,

"Adik tak nak makan sebab babah tak belikan makanan"..

Jawapan anak aku buat aku bertambah sedih dan rindu padanya..


Aku faham maksudnya. "Tak nak makan", kerana aku tak datang berjumpa dengannya.. tak menjenguk dia di KL. Dulu setiapkali aku ke sana, dia akan sentiasa berdamping dengan aku. Makan mahu aku suapkan, aku mandikannya sambil bermain buih sabun, melayan kerenahnya setiapkali di kedai.... malahan langsung tak mahu berjalan tapi mahu berdukung. Setiapkali mahu keluar rumah, anak aku akan mendepakan tangannya siap siap..tanda minta didukung. Begitu juga bila tiba waktu tidur, aku disuruh bercerita... ceritalah apa sahaja yang mampu buatkan dia terlena. Tidak habis di situ, setiapkali terjaga malam dan mahu ke tandas pasti aku yang dikejutkan, minta diteman. Akulah juga yang akan bangun dan bancuhkan susu.

Semua itu langsung tidak jadi beban walau sebesar kuman. Sebaliknya aku rasa gembira bila mampu sedia dan siapkan segala gala untuk anak..walaupun agak pening bila terjaga tengah malam untuk bancuh susu.


Tapi itu dulu. Keadaan sekarang berlainan.
Adakah aku dibenarkan bermain dan luangkan masa sepanjang waktu aku bercuti dan bertemu dengannya nanti?.

Adik..maafkan babah.

Babah sudah cuba yang terbaik untuk jadi ayah yang boleh adik banggakan.
Tapi babah masih gagal.
Gagal kerana kesilapan yang bukan babah lakukan.
Walaupun apa terjadi bila adik besar nanti.. adik kena faham dan pasti adik akan faham.

Tidak kira siapa yang lakukan kesilapan.. adik wajib hormat dan jaga mummy bila adik besar nanti. Jangan sekali kali derhaka.
Jangan buang dan biarkan mummy keseorangan kalaupun adik tahu salah siapa satu hari nanti.
Biarkanlah perkara yang lepas tapi tanggungjawab adik menjaga mummy.
Adik perlu jadi anak yang taat, merendah diri dan berbudi pada mummy.
Kerana babah tidak pernah mengajar adik meninggi suara, menengking apatah lagi derhaka pada sesiapa.
Babah tahu adik masih kecil..ada masa adik akan terlupa kerana itu babah perlu ingatkan adik setiap masa.


Babah tahu babah mungkin tidak lagi berpeluang menjenguk dan bermain, menemani adik sepanjang hari. Sampai masa babah akan terpaksa tinggalkan adik bersama mummy kerana babah dan mummy akan membawa arah yang berlainan selepas ini.

Babah terpaksa akur impian babah untuk menjadi seorang ayah yang terbaik untuk adik semakin pudar. Harapan babah mungkin tidak akan tercapai bila babah tidak tinggal bersama adik.
Tapi adik perlu tahu babah akan sentiasa bersama bila adik perlukan teman... walau bila dan dimana.

Kerana adik adalah "nyawa" babah.