Saturday 2 April 2011

Cinta Agung : Salahkah aku mencintaimu

Bersumber dari Raja’ bin Umar An-Nakha’i, dia pernah bercerita: “Dahulu di kota Kufah tinggallah seorang pemuda tampan rupawan yang tekun dan rajin beribadat, dan dia termasuk salah seorang ahli zuhud. Suatu hari pemuda itu singgah di kalangan kaum An-Nakha’ dan di sana dia bertemu dengan seorang gadis yang cantik.

 Sejak melihatnya pertama kali, dia pun jatuh hati dan tergila-gila oleh kecantikannya. Demikian juga si gadis yang merasakan hal serupa sejak pertama melihat pemuda itu. Si pemuda lalu mengutus seseorang untuk meminangnya, tetapi ternyata gadis tersebut telah dipertunangkan dengan putera bapa saudaranya. Mendengar keterangan ayah si gadis itu, mereka berdua menahan beban cinta yang sangat berat.

 Si gadis tadi kemudian mengutus seorang hambanya untuk menyampaikan sepucuk surat kepada pemuda tambatan hatinya: “Aku tahu betapa engkau sangat mencintaiku, dan kerananya, betapa besar penderitaanku terhadap dirimu sekalipun cintaku tetap untukmu". Seandainya engkau berkenan, aku akan datang berkunjung ke rumahmu atau aku akan memberikan kemudahan kepadamu bila engkau mahu datang ke rumahku.”

 Setelah membaca isi surat tersebut, si pemuda kacak itu pun berkata kepada utusan wanita pujaan hatinya, “Kedua tawaran itu tidak ada satu pun yang kupilih! Sesungguhnya aku takut akan seksaan hari yang besar bila aku sampai derhaka kepada Tuhanku. Aku juga takut akan neraka yang api dan jilatannya tidak pernah surut dan padam.” Pulanglah utusan kekasihnya itu dan dia pun menyampaikan segala yang disampaikan oleh pemuda itu.

Si gadis lalu berkata, “Selamanya aku belum pernah menemui seorang yang zuhud dan selalu takut kepada Allah SWT seperti dia. Demi Allah, tidak seorang pun yang layak mendapatkan gelaran kemuliaan kecuali dia, sedangkan kebanyakan orang adalah munafik.”

Setelah berkata demikian, gadis itu lalu melepas segala urusan duniawinya serta membuang jauh-jauh segala sesuatu yang berkaitan dengan dunia. Dia pun memakai pakaian dari tenunan kasar dan sejak itu tekun beribadat, sementara hatinya merana, badannya juga kurus oleh beban cintanya yang besar kepada pemuda yang dicintainya. Dan kerinduannya yang mendalam menyelimuti sepanjang hidupnya hingga akhir hayatnya.

Setelah gadis itu meninggal dunia, sang pemuda sering pula berziarah ke makamnya. Pada suatu ketika dia bermimpi seakan-akan melihat kekasihnya dalam keadaan yang sangat menyenangkan. Pemuda itu pun bertanya, “Bagaimana keadaanmu dan apa yang kau dapatkan setelah berpisah denganku?” Gadis kekasihnya itu menjawab dengan menyenandungkan untaian syair: Kasih... cinta yang terindah adalah mencintaimu, sebuah cinta yang membawa kepada kebajikan.

Cinta yang indah hingga angin syurga berasa malu, burung syurga menjauh dan malaikat menutup pintu. Mendengar penuturan kekasihnya itu, pemuda tersebut lalu bertanya kepadanya, “Di mana engkau berada?” Kekasihnya menjawab dengan melantunkan syair: Aku berada dalam kenikmatan dan kehidupan yang tiada mungkin berakhir berada dalam syurga abadi yang dijaga oleh para malaikat yang tidak mungkin binasa yang akan menunggu ketibaanmu, wahai kekasih. 

Pemuda itu kembali berkata kepada kekasihnya, “Di sana aku mohon agar engkau selalu mengingatiku dan sebaliknya aku pun tidak dapat melupakanmu!” “Dan demi Allah, aku juga tidak akan melupakan dirimu".


Sungguh, aku telah memohon untukmu kepada Tuhanku juga Tuhanmu dengan kesungguhan hati, sehingga Allah berkenan memberikan pertolongan kepadaku!” jawab gadis kekasihnya itu. Pemuda itu kembali berkata kepadanya, “Bila aku dapat melihatmu kembali?” “Tak lama lagi engkau akan datang menyusulku kemari,” jawab kekasihnya. 

Tujuh hari sejak pemuda itu bermimpi bertemu dengan kekasihnya, ia meninggal dunia.




Salahkah aku mencintaimu dalam diam sedang cinta para alim yang zuhud juga begitu. Cinta yang setia dan sejati hingga ke mati. Bukankah indah?.

Friday 1 April 2011

Nostalgia : Zaman kecilku (part 3)

Lama aku menetap bersama ayah di kampung Wakaf Tengah. Tiba masa aku mula bersekolah dan ayah mendaftarkan nama aku di sebuah sekolah di mana dia mengajar - Sekolah Rendah Wakaf Tengah. Sepanjang pembelajaran aku di sana, pencapaian peperiksaan aku tidaklah memuaskan. Aku hanya mengikut ayah pergi dan balik ke sekolah tanpa apa apa tujuan kecuali bermain.

Keadaan ini berterusan sehingga aku naik ke darjah dua. Aku masih gagal menghafal sifir dan menyiapkan latihan sekolah yang diarahkan oleh cikgu. Pernah satu ketika ayah mengugut aku supaya belajar dan menghafal sifir dua dan jika tidak aku tidak berpeluang mengikut ayah ke "fun fair" di kampung berdekatan. Walaupun aku cuba membaca dan menghafal, aku tetepa gagal. Kepala aku begitu benak mengingat nombor nombor yang tertera di kulit belakang buku latihan. Akibatnya aku ditinggalkan oleh ayah di rumah.


Tapi tempat yang paling kerap aku lawat adalah klinik gigi. Tempat yang paling aku takut. Setiapkali sampai di sana aku akan bermain diluar klinik.. berjalan jalan di tepi longkang dan aku hanya akan masuk bila dipanggil oleh ayah. Semasa berada di dalam bilik, semuanya menggerunkan... menakutkan aku. Aku takut melihat doktor dan nurse yang berpakaian serba putih dan menutup muka. Bila saja aku diletakkan di atas kerusi, aku akan menggelonsor turun... aku akan menjerit sekuat kuat hati.

"Tak nakkkkkkk"..

Ayahlah orang yang paling teruk menerima malu. Akhirnya ayah akan duduk terlebih dahulu di atas kerusi dan meriba aku sambil memeluk dari belakang. Sebelah tangan ayah akan memegang tangan aku dan  tangannya yang lagi satu akan memegang dahi aku supaya aku bersandar di dadanya.  Kaki ayah juga akan mengunci kaki aku supaya tidak meronta ronta. Malahan nurse juga terpaksa membantu memegang kepala supaya senang doktor menyucuk ubat bius ke gusi aku.

Aku masih ingat sakitnya bila dicucuk. Gusi aku terasa bengkak dan mulut aku herot. Bibir aku seolah tebal seperti bibir negro. Aku tak boleh bercakap dengan betul.. terasa pelat. Aku kemudiannya akan bermain semula diluar klinik sehingga nama aku dipanggil sekali lagi. Dan biasanya aku akan didukung ayah untuk dibawa ke dalam bilik rawatan kerana aku akan menangis dan meronta di luar klinik.. membantah dibawa masuk untuk berjumpa doktor. Sememangnya aku serik. Tiapkali tiba giliran aku pasti pesakit lain yang sedang menunggu giliran diluar boleh mendengar aku menjerit sakit dan menangis. Aku tak peduli pada orang lain kerana aku memang takut.

Nostalgia : Zaman kecilku (part 2)

Aku tinggal bersama ayah dan keluarganya dalam tempoh yang agak lama. Sepanjang aku di sana pelbagai  peristiwa yang aku alami dan sebahagiannya aku mash ingat hingga ke hari ini. Aku tidak diberi apa apa keistimewaan di dalam keluarga bukan sahaja perhatian tapi juga makan minum seharian.

Ayah seorang yang agak berkira dalam perbelanjaan seharian. Walaupun gaji ayah aku kira agak "lumayan" pada ketika itu. Ayah yang bekerja sebagai seorang guru, kakitangan kerajaan pada waktu itu di anggap sebagai seorang yang berjawatan tinggi dan di hormati oleh masyarakat sekeliling. Selain itu ayah juga mengusahakan ternakan sendiri. Dan aku sering diminta menolong ayah mengusahakan ternakannya,  memelihara berbagai jenis ayam, itik, dan angsa.

Aku masih ingat setiap hari selasa atau rabu, ayah akan menyuruh aku mengutip biji gajus di sekeliling rumah untuk dijemur selama beberapa hari sebelum digoreng hingga hitam seperti arang.. dan tugas aku berterusan, aku akan mengetuk biji gajus yang hangus untuk di ambil isi dan dimasukkan ke dalam tin Milo.

Sewaktu kecil aku seorang yang penakut, takut dengan keadaan gelap. Memandangkan rumah hanya mempunyai dua bilik, satu untuk ayah dan isteri manakala satu lagi digunakan oleh anak perempuan mereka dan aku terpaksa tidur di ruang tamu. Kerana takut tidur berseorangan dan gelap, kebiasaannya aku akan tidur berdekatan dengan bilik ayah. Aku menyorong tilam kekabu ke bawah meja yang biasa ayah gunakan. Kepala aku akan berada dibawah meja tapi kaki terjulur ke luar.

Tinggal bersama ayah tidak ada apa yang istimewa dan menggembirakan.

Sepanjang aku tinggal disitu, pernah sekali umi datang melawat aku bersama bapa saudara. Aku masih ingat bapa saudara bercakap cakap dengan ayah dan umi berdiri diluar pagar, menangis memanggil nama aku.. tapi aku pada ketika itu sudah lupakan umi. Aku tidak mengenali umi dan aku menyorok di belakang ayah. Umi masih juga menangis melambai dan memanggil aku supaya datang mendapatkannya. Aku yang tidak mengerti apa apa hanya berdiri dan mengintai dari belakang ayah. Setelah beberapa lama umi begitu, mereka akhirnya berlalu dari situ dengan menaiki sebuah kereta. Aku bertanya pad ayah siapa tetamu yang datang ke rumah.

"Orang jahat" jawab ayah.

Semasa kecil aku memang agak nakal. Mungkin kerana aku satu satu anak lelaki dalam "keluarga" itu dan tidak mempunyai teman sepermainan. Adakala aku bermain atas pokok jambu dan gajus, ada ketika aku menyeksa ayam dan ternakan ayah.. selalunya yang menjadi mangsa adalah ayam belanda yang suka membuat bising.




Seingat aku, aku hanya mula berkawan bila adanya kawasan pembinaan yang maha luas di seberang jalan berhadapan dengan rumah. Di situ aku mengenali seorang anak buruh binaan yang dikenali dengan nama Zamani. Juga seorang yang nakal... seperti aku.

Pernah satu masa Zamani bertanya kalau kalau aku ingin bermain mercun roket. Kata Zamani dia terjumpa beberapa batang mercun berhampiran kantin tempat ibunya berniaga.

Zamani tunjukkan kepada aku "roket" kepunyaanya. Zamani kemudiannya menyalakan mancis sebatang demi sebatang tapi roket masih tidak terbakar. Aku bertanya ke mana pergi "sumbu" roket dan sebab tiada sumbulah roket tak terbakar dan tidak terbang ke langit. Aku masih leka perhatikan Zamani. Tiba tiba ibu Zamani menjerit... marahkan kami berdua dan aku hanya tercegat.

"Buat apa tu... ambil kat mana tu....??"
"Itu bukan mercun roketttt"
"Pergi letak balik colok Cina"..
"Tu colok cina buat sembahyang"

Selepas ibu Zamani terang barulah aku faham kenapa "mercun roket" Zamani tidak bernyala bila dicucuh dari bawah kerana cina menghidupkan colok dari bahagian atas.

Thursday 31 March 2011

Nostalgia : Zaman kecilku (part 1)

Waktu waktu aku bersendirian, aku banyak terkenangkan perjalanan hidup aku selama ini. Terlalu banyak perkara yang beri pengajaran, keinsafan, nasihat, muslihat pahit manis dan asam garam dalam kehidupan. Hampir semua aku telah lalui. Bukan suatu masa yang singkat... semuanya aku lalui dalam masa hampir empat puluh tahun.

Zaman kanak kanak aku penuh dengan rasa sedih serta duka berbanding orang lain yang sebaya. Seawal umur enam tahun hidup aku berpindah randah, bertukar tangan antara umi dan ayah. Pergolakan dan perpisahan ibubapa menyukarkan kehidupan sekeluarga.  

Aku masih ingat satu masa dulu bila tiba cuti sekolah aku akan tinggal bersama umi untuk beberapa ketika dan masih terbayang dimata bila umi membawa aku ke rumah saudara. Aku lihat ada lelaki sedang menunggu di tepi motorsikal.. umi kemudianya berbual dengan saudara dan lelaki asing itu. Agak lama.. dan akhirnya lelaki itu memegang dan mendukung aku lalu diletakkan di dalam raga motosikal sambil terus menghidupkan enjin..
aku panik dan memangil umi supaya selamatkan aku dari lelaki yang aku tidak kenali. 




”umiiiii...”
”umiii tolonggg”
”nak umiiiii”...



Aku memanggil umi berulang kali, menjerit jerit minta diselamatkan tapi umi tak mampu berbuat apa apa. Umi hanya memandang aku yang masih menangis memanggil umi. Motosikal kemudiannya berlalu meninggalkan umi.. aku masih lagi menjerit menangis menghulurkan tangan memanggil umi hinggalah umi hilang dari pandangan. Aku menangis di atas motorsikal yang dipecut laju.

Setelah beberapa lama, aku dan lelaki itu tiba disebuah rumah.. di perkampungan nelayan. Rumah kayu di tepi jalan mengadap pantai. Aku takut, rasa terasing bila dikelilingi oleh orang yang aku tidak kenali. Aku tidak ingat apa yang terjadi selepas itu dan aku hanya tahu pada waktu petang aku dibawa berjalan jalan bersama kanak kanak lain di tepi pantai. Aku hanya mendiamkan diri. Malam itu aku tidur di satu tempat yang cukup asing..   

Keesokkan harinya, aku dibawa menaiki motorsikal oleh lelaki yang sama. Menuju ke satu tempat yang aku tidak pasti. Perjalanan yang cukup jauh. Aku tidak lagi menangis tapi hanya mendiamkan diri. Hairan kenapa umi membiarkan aku diambil oleh lelaki asing ini. Dan aku terpaksa mengikutinya tanpa bantah. Perjalanan hari itu memenatkan. Aku hanya mendiamkan diri sepanjang perjalanan. Aku hanya ingat kami berhenti di suatu tempat lagi kali ini dan bermalam di situ. Disebuah rumah berhampiran klinik desa.

Perjalanan diteruskan esoknya hinggalah tengahari itu aku tiba di satu daerah. Aku masih ingat lagi, aku terpandang satu rumah besar dan tertera perkataan `Siong’ di atapnya. 
Kata lelaki asing, itu kilang televisyen... tempat orang memasang TV hitam putih. Semasa di atas motosikal aku memerhatikan keadaan sekeliling, perkampungan yang tenang… jarak antara satu satu rumah agak jauh, pasirnya memutih dan banyak pokok gelang tikus di kawasan tersebut.  Akhirnya kami tiba di sebuah rumah besar berwarna biru dan berpagar kawat. Keliling rumah banyak pokok gajus dan lalang di kawasan halaman. Rumah kayu bertiang tinggi dan tangganya mengadap pintu pagar.

Aku di bawa masuk ke dalam rumah dan disambut oleh seorang wanita bersama anak perempuannya. Aku kemudiannya faham lelaki asing itu adalah ayah kandung. Lantaran berpisah, ayah dan umi merebut hak untuk menjaga aku. Tapi kenapa aku?. Sedang ayah tidak merebut hak untuk menjaga abang dan kakak. Wanita itu adalah ibu tiri dan anak tunggal perempuan yang aku kenali sebagai Nor. Kehidupan aku di tempat baru tidak begitu menggembirakan. Kebanyakkan masa aku habiskan bersendirian. Aku akan bermain disekitar rumah.. memanjat pokok gajus atau pokok jambu batu yang tumbuh tinggi di kawasan dapur. Ada masa aku akan bermain perang berseorangan, akulah hero dan akulah musuhnya. Aku merangkak mengendap musuh disebalik lalang. Aku tembak.. kemudiannya aku berlari menukar watak menjadi musuh. Aku terbaring di atas lalang berpura pura menjadi musuh yang mati ditembak. Hidup aku tidak ada warna warna ceria bermain bersama anak anak kampung. Aku hanya dengan duniaku.

Aku akhirnya sudah boleh membiasakan diri dengan persekitaran yang serba baru... pun begitu aku masih menghabiskan waktu seharian berseorangan. Aku masih ingat teman aku yang paling baik adalah seekor ibu kucing. Ibu kucing yang baru melahirkan anak. Aku akan turun ke tanah dan berlari ke bawah rumah.. melihat ibu kucing sedang menyusukan anak anaknya di dalam kotak televisyen besar yang tergantung di bawah rumah. Sering juga aku akan masuk ke dalam kotak itu untuk bermain bersama sama anak kucing. Malah aku pernah tertidur di dalam kotak itu.

Lama kelamaan, aku mula lupa pada umi.                              

Sejak tinggal bersama ayah, aku banyak habiskan masa bersendirian di rumah. Dan aku masih lagi dengan sikap nakal.. memanjat pokok gajus pada waktu tengahari, bermain bersama kucing atau perang di halaman rumah. Ayah tidak pernah marah pada aku. Ayah juga jarang berbual bertanyakan sesuatu pada aku. Hidup aku sunyi dan bosan.

Ada ketika aku cuba cuba berjalan meninjau kawasan sekitar.. berjalan di dalam kampung. Di situ aku kenali seorang nenek.. yang cukup memanjakan aku. Nenek tua yang langsung tiada pertalian persaudaraan. Nenek tinggal seorang diri dan aku dianggap seperti cucu sendiri. Pernah juga aku menemani nenek pada waktu malam. Rumah nenek buruk, hanya bertemankan cahaya dari pelita.. pun begitu jiwa nenek besar. Jiwa nenek mulia.. nenek tidak menganggap kehadiran aku menyusahkan. Nenek sering juga bertanya kalau kalau aku mahu makan sesuatu dan akan cuba memenuhi kehendak aku. Aku masih ingat nenek menggoreng ayam pada waktu malam... tapi ayam nenek masin kerana nenek rabun. 

Ayah jarang bertanya pada aku, ke mana aku menghilang atau apa yang aku lakukan sepanjang hari. Manakala aku menghabiskan masa dengan bermain tanpa mengira masa, panas atau hujan.          

Jika hujan aku akan lebih galak bermain di halaman rumah. Aku akan bermain kapal dari gabus.



Kegemaran aku yang lain ialah mendengar radio... pada waktu tengahari. Rancangan ”Hello Skot” paling aku minati. Entah kenapa rancangan radio itu menarik perhatian aku. Aku sukakan rentak lagu yang dimainkan di radio. Tapi apa yang lebih menterujakan adalah waktu aku sedang bermain hujan di halaman... aku lihat ramai askar sedang berjalan kaki di hadapan rumah dan mereka semua melompat ke dalam lopak air sebaik terdengar suara menjerit ”musuh”. Aku kagum dengan pakaian dan senjata mereka... mereka juga tangkas!.           

Tuesday 29 March 2011

Pagi yang menyeksakan

Hari ini antara hari paling menyeksakan terutamanya pada waktu pagi.

Alarm handphone berbunyi tepat pukul 5 pagi. Tapi aku rasa masih terlalu awal sedangkan pada hari lain aku boleh bingkas bangun dari tempat tidur. Cuma pagi tadi aku rasa berat mata.. tak puas tidur. Rasa seperti aku baru saja lelap dan alarm terus berbunyi. Tak lama kemudian alarm berbunyi sekali lagi, kali ini jam menunjukkan pukul 5.15 pagi. Pun aku rasa masih awal. Memang sudah jadi kebiasaan aku akan tetapkan 3 alarm untuk setiap 15 minit. Masih ada 15 minit untuk aku sambung tidur. Mungkin sebab aku kepenatan, aku malas bangun awal. Kebiasaan aku boleh terus bangun dan tuju bilik air sebaik alarm pertama berbunyi. 15 minit lagi untuk sambung tidur, masa itu emas..

Kali ke 3 alarm berbunyi dan kali ini aku tak ada alasan untuk sambung tidur lagi. Aku terus bangun, kemaskan tempat tidur dan mandi.. dan kebetulan hujan diluar, cuaca sejuk. Nasib baik ada water heater jadi aku mandi lama... hingga badan terasa panas, puas. Selesai mandi, aku bergegas.. segala gala perlu pantas. Kalau aku lambat banyak perkara aku akan ketinggalan dan sudah menjadi rutin semuanya perlu cepat, pantas sebaik jam 6 pagi. 

Selesai saja aku solat subuh, aku terus mengenakan coverall - bersiap siap untuk ke tempat kerja. Hujan masih turun renyai renyai.. aku kira mungkin hujan lebat malam tadi dan renyai renyai hingga ke pagi. Tepat 6.30 pagi aku sudah berada di atas jalan raya, memandu ke pejabat.. pagi waktu yang paling segar untuk memandu dan tak perlu memecut tapi sekadar memandu sambil melayan perasaan pada seseorang..




Jalanraya masih lengang, gelap. Cuma sekali sekala ada kereta lain memotong kereta aku. Sepanjang pemanduan aku dari rumah hingga ke kawasan Giant Kijal, semuanya lancar dan selesa hinggalah aku sampai ke kawasan Meraga Beris. Kerana jalanraya yang agak gelap sebab tiada lampu jalan, aku hampir saja terlanggar lopak air yang sudah melimpah ke tepi jalan. Aku cukup bimbang keadaan seperti itu. Tahun lepas aku hampir saja terbabas sebab insiden yang sama.

Segala galanya masih gelap, senyap..masih awal pagi. Aku pandu perlahan melintasi kawasan Hotel Awana Kijal menuju ke Kemasik. Sebaik tiba di situ seperti biasa aku akan berhenti untuk bersarapan. Menu harian - nasi lemak separuh dan air teh 'o' suam atau teh tarik kurang manis.

Pukul 7 pagi selesai bersarapan, aku meneruskan pemanduan ke pejabat yang terletak di Kerteh.. lebih kurang 40 - 44km dari rumah.

Tapi pagi ni aku rasa kelainan, aku lihat banyak kereta tersadai di tepi jalan sepanjang kawasan perumahan Rantau Bukit... dan ada 3 buah kereta diletakkan di atas pembahagi jalan. Aku fikirkan ada kemalangan berlaku di kawasan ini tapi aku perlahankan kereta.. yang ada hanyalah deretan kereta. Barulah aku terperasan kawasan perumahan Rantau Bukit banjir rupanya. Aku masih memandu dan seperti yang dijangkakan air melimpah ke atas jalan berhadapan pasaraya L-Mart dan jalan dilencongkan dengan papan tanda polis.



Setibanya di kawasan lampu isyarat berhampiran Balai Polis Kerteh, aku nampak keadaan sedikit kacau bilau..  diluar kebiasaan. Kawasan balai polis ditenggelami air dan kereta yang keluar dari kawasan berdekatan terpaksa bersesak di persimpangan lampu isyarat dengan kenderaan dari arah Kemaman dan Terengganu. Keadaan semakin kelam kabut, jalan untuk ke arah Kerteh di lencongkan ke 3 arah - ada kenderaan menggunakan laluan di hadapan masjid Kerteh, sebahagian menggunakan laluan kawasan berhampiran Kerteh Lounge dan ada meneruskan perjalanan mengikut jalan raya yang biasa aku lalu setiap hari.

Hasilnya aku pening.. mana satu arah yang patut aku ikut?.

Akibat keadaan yang terlalu bersesak dan mendesak, aku silap buat perkiraan... signal ke kanan - aku pusing ke kiri. Nasib baik tidak ada kereta atau lori. Kalau tidak mesti kereta aku dirempuh kenderaan lain.



Aku ambil laluan berhadapan masjid tapi jalan juga sesak, sendat dan hampir semua kereta yang di hadapan bertindak berpatah balik.. dan aku tidak ada pilihan turut buat keputusan yang sama. Aku terpaksa menggunakan jalan yang biasa aku guna. Tiba saja berhampiran jejantas berhadapan restoran McDonald Kerteh, trafik tergendala.. jalanraya sesak teruk. Sepanjang 3 tahun aku bekerja di sini tidak pernah aku tengok keadaan sebegini teruk. Ada kereta yang dari arah Kuala Terengganu memasuki laluan aku, ada yang berpatah balik..... semuanya kerana banjir. Air melimpah kawasan jalan dan beberapa buah kereta kelihatan tersadai hingga berlaku kemalangan.

Hampir 45 minit aku tersadai bersama orang lain yang tersalah masuk ke laluan tu. Air mulai melimpah ke atas jalan bermula dari kawasan masjid Kerteh hingga ke persimpangan lampu isyarat McDonald - Airport Kerteh. Selepas beberapa lama barulah aku boleh berpatah balik dan mengikut kenderaan lain meredah air yang hampir mencecah ekzos kereta. Laluan alternatif, aku terpaksa gunakan jalan di kawasan perumahan Panalex untuk ke tempat kerja.

Dari situ hujan turun dengan lebat sehinggalah ke kawasan Kompleks Petroleum Petronas. Hujan yang agak luarbiasa lebat, aku kira jarak penglihatan hanya sekadar sejauh 5 - 10 meter.

Pagi yang menyeksakan, aku ke tempat kerja dengan lenguh kaki yang amat sangat sebab terlalu kerap menekan 'clutch' dan kesejukkan kerana coverall basah sebaik ke luar dari kereta di parking lot menuju pejabat.

Dan akhbar hari ini mengatakan lebih 400 orang penduduk di Terengganu terpaksa dipindahkan kerana banjir.

Pada mereka yang hanya terima hujan sekali sekala - Bersyukurlah.

Sunday 27 March 2011

Mimpi


Ada yang kata mimpi itu mainan tidur. Mimpi dipengaruhi perasaan sewaktu sebelum tidur atau yang dialami pada waktu siang hari. Lihat saja pada kanak kanak, jika mereka bermain, gelak ketawa dan gembira sepanjang hari tidak mustahil mereka akan terbawa bawa peristiwa yang mereka lakukan ke dalam mimpi dan seterusnya mengigau. Tidak semesti hanya perkara yang menggembirakan tapi juga perkara yang menyedihkan mereka.

Begitu juga dengan orang dewasa... mimpi mereka juga akan dipengaruhi perasaan yang dialami pada waktu siang atau sebelum tidur... ada kala bercakap, ketawa atau juga menangis.. Semuanya berlaku dibawah sedar mahupun separa sedar.



Dan aku, sudah banyak kali alami perkara begitu. Bukan saja bercakap.. ada masa menangis malah melakukan sesuatu.

Pernah satu masa dulu waktu masih membujang.. aku mimpi bergaduh dengan seseorang. Aku tak bergaduh atau bertumbuk dengan sesiapa pada siang hari atau sebelum tidur tapi mungkin kerana perasaan tidak puashati atau ada terbuku sesuatu di dalam hati, semuanya terbawa bawa ke dalam mimpi.. kemuncak pada mimpi aku, aku menyepak seseorang sekuat kuat hati..hinggakan aku terdengar bunyi seperti berdengung..kaki aku terasa sakit.. dan sebaik aku menyepak seseorang, aku terus celikkan mata..dan kaki aku memang terasa sakit hasil aku menyepak dinding tepi katil... penangan mimpi gila aku malam itu.

Acapkali juga aku bermimpi... mimpi jatuh bangunan juga kerap. Kata orang mimpi begitu menandakan kita gagal dalam apa apa pekerjaan yang kita sedang buat atau inginkan. Entahlah.. mungkin ada kebenaran. Acapkali juga aku gagal bila teringinkan sesuatu.

Satu masa dulu selepas kawin.. lebih beberapa bulan selepas kawin.. antara separa sedar, aku bangun dan mencium bantal. Aku boleh nampak isteri aku bangun dan perhatikan perbuatan aku tapi semuanya berlaku diluar kawalan.. aku masih di dalam mimpi, separa sedar ... hasilnya, kami bertekak awal pagi semuanya kerana mimpi merepek dan aku mengigau. Aku cuba terangkan yang aku bermimpi mencium seorang budak.. tapi isteri mana yang mahu telan bulat bulat cakap suaminya bila berkeadaan begitu.. hahahaaa.

Dulu, kadangkala mimpi aku bukan saja boleh menyakitkan diri sendiri tapi juga orang yang berada atau tidur berhampiran.. dan lucu bila diingatkan balik. Malam itu, mungkin kerana kepenatan..aku bermimpi menaiki sebuah gerabak keretapi..bila aku toleh kebelakang aku lihat ramai budak budak berkulit hitam dan kepala botak sedang memerhatikan aku. Semuanya sedang tersengih dan rupa mereka menakutkan. Aku kemudiannya berdiri dihadapan pintu gerabak. Bila aku pandang ke luar gerabak yang sedang bergerak laju, aku lihat masih ramai budak budak yang telanjang bogel berkulit hitam berkilat dan berkepala botak sedang mengejar gerabak yang aku naiki.. aku jadi panik. 

Jumlahnya cukup ramai dan tiba tiba ada di antara mereka yang sempat berpaut pada pintu gerabak sambil tersengih membuatkan aku jadi begitu takut.. kerana bimbang mereka semua akan naik dan memenuhi gerabak.. aku ketuk kepala seorang demi seorang. Ada yang terjatuh tapi entah mengapa ada seorang budak itu cukup degil, walaupun aku ketuk kepalanya berulangkali tapi masih kuat berpegang pada pintu gerabak. Aku jadi semakin panik dan mengetuk kepalanya sekuat kuat hati dan akhirnya aku dengar suara bising serentak tangan aku ditepis.. aku terjaga dan melihat isteri aku membebel sambil menggosok kepala. Marahkan aku kerana mengetuk kepala dia sekuat hati..malam itu aku terpaksa mendengar isteri membebel...