Thursday 10 March 2011

Ya Allah padamu aku mengadu

Syukur pada Allah.. 

Atas nikmat yang diberikan selama ini
Rezeki yang aku terima walau tidak melimpah ruah hanya ala kadar tapi mencukupi.
Dan syukur kerana aku antara yang masih disayangi, dilindungi rahmat Tuhan.

Pagi ini
Aku masih diberi kenikmatan
Sihat anggota badan dan pancaindera
Untuk terus merasa dan nikmati keindahan serta rezeki yang dikurniakan

Setiap rezeki yang aku terima
Mengingatkan aku pada anak
Entah bagaimana rezeki anak aku di sana
Sihatkah anak aku
Apa rezeki untuk anak aku yang Tuhan berikan.

Seringkali aku menjamah makanan. Fikiran aku akan kuat teringatkan anak. Aku rindu.
Bapa mana yang sanggup menikmati rezeki sedang tidak mengetahui rezeki anak nun jauh di sana.


Ya Allah,
Engkau rahmatilah anakku
Engkau kurniakan kesihatan, keselamatan dan rezeki padanya.

Aku dapat tahu
Kebelakangan ini anak aku kurang berselera.. enggan menjamah makanan

"adik tak nak makan sebab babah tak belikan"
"babah belikan lah"
"ye nanti babah belikan"... aku memujuk
"adik kena makan baru adik kuat"

Aku sedih kerana berjauhan aku kurang berikan kasih sayang padanya
Sedangkan kanak kanak sebaya dengannya sentiasa diberi perhatian setiap masa oleh ibu bapa. Tapi aku tidak.. masih gagal berikan yang terbaik untuk anak kesayangan.

Semoga semuanya dilindungi Allah.
Diberikan yang terbaik dunia dan akhirat.

Khamis aku tunggu kedatanganmu.

Khamis datang lagi.
Khamis bukan si pemungut hutang.
Bukannya pegawai bank.

Dan bukan sesiapa.

Tapi Khamis yang aku maksudkan adalah HARI.
Yup... hari Khamis

Khamis yang menyenangkan. Cukup cukup menyenangkan.

Di tempat kerja aku hari Khamis semua dibenar balik awal.
Seawal jam 4 petang semua sudah bertebaran, terkocoh kocoh balik ke rumah umpama burung pulang ke sarang waktu hujan.

Pagi Khamis... semua kepenatan yang dipikul dari hari Ahad akan terasa.
Pagi Khamis...segala gala bermula dengan lambat... perlahan, memang perlahan. Baik makan pagi mahupun kerja.
Tapi Khamis juga hari yang penuh magik... jika pagi ada yang masih bermuka kelat tapi semuanya hampir berubah menjelang tengahari. Ramai yang mencongak untuk balik awal..luangkan masa bersama anak, isteri.. dan ahli keluarga.

Bagi aku, Khamis hari untuk berubah pada setiap minggu.
Menukar perwatakan dari seorang pekerja di pejabat kepada pekebun.... hahahaa.

Itulah karekter aku.
Kerana aku tak punyai sesiapa di sini.
Hanya aku dan dunia tani... yang setia menemani aku adalah bayam, keledek, pisang dan bunga kantan bersama serai manakala pengikut aku yang baik hati pulak bernama cangkul.
Petang Khamis masa untuk mula berkebun.. dan selalunya aktiviti berkebun akan berterusan hingga petang Sabtu.

Jika cuaca baik, terang dengan sinaran matahari...aku akan melayan perasaan dikebun.. membelai pokok dan tanaman. Menabur baja atau membuang rumput... kata kawan kawan, aku tak ubah seperti orang tua yang sudah pencen.
Aku akui tak ramai orang sebaya aku yang suka berkebun... tapi lebih suka melaram, pekena kopi atau teh tarik di kedai dan ada juga yang luangkan masa dengan bersukan.
Tapi semuanya tak menjadi masalah.
Terpulang pada diri masing masing untuk menghiburkan hati.
Apa yang pasti hari Khamis, hari yang penuh nikmat.... hari yang ditunggu tunggu setelah empat hari bekerja.

Selamat datang Khamis.

Wednesday 9 March 2011

Warna warna kehidupan

Putaran hidup ni unik.
Ada hari kita bersedih, dukacita.. ada masa kita akan jadi gembira, ceria seolah olah tak ada apa yang berlaku sebelum ini dan sebaliknya.
Hidup yang penuh dengan warna warni.

Ada ketika seseorang yang kita tidak kenali sebelum ini boleh menjadi rakan yang paling baik. Malahan mungkin lebih baik dan akrab mengalahkan sanak saudara.
Ada masa seseorang yang kita percaya, berjauhan dek kerana perselisihan faham.
Semuanya asam garam, rencah kehidupan yang mematangkan diri.



Inilah yang mewarnai hidup aku sejak kebelakangan.
Perasaan bercampur baur - antara gembira, sedih dan kecewa.

Gembira kerana mengenangkan aku masih punya teman yang prihatin maha penyayang. Jika dulu teman itu seringkali menemani aku tapi kini teman hanya mampu bertanyakan khabar berita, jauh dari sudut dunia. Realiti, aku amat sedih bila  kehilangannya. Hilang dari pandangan mata.
Hanya sesekali aku dapat mendengar cerita.

Hati aku merindui teman itu ... naluri aku menjerit bahawa aku perlukannya sebagai pendorong semangat tatkala aku dalam kemurungan, dalam kesedihan.

Aku umpama pungguk rindukan bulan ... setia menantikan kepulangan teman yang tak mungkin akan menjadi kenyataan.... untuk masa yang terdekat.

Tuesday 8 March 2011

Selamat hari wanita sedunia


Aku ucapkan selamat pada semua wanita sempena perayaan seluruh dunia walau sambutan tak semeriah hari raya tapi sekurang kurangnya seluruh dunia menghargai pengorbanan wanita. Mengakui hak kaum wanita selama ini. Hampir semua negara di dunia meraikan hari wanita.


Bagi sesebuah keluarga, aku fikir menjadi tanggungjawab kaum bapa sebagai ketua keluarga untuk meraikannya...bagaimana cara? 
Terpulang pada kemampuan masing masing.

Kaum wanita memang besar peranannya. Bagi yang belum berkahwin, mereka menyumbang tenaga pada masyarakat. Bagi yang berumahtangga, tanggungjawab mereka jadi lebih berat.

Di rumah tanggungjawab mereka bukan saja menjaga keperluan si bapa tapi pada anak-anak. Rumah perlu dikemas dan dibersihkan. Tanggungjawab mereka diperlukan dari siang hingga ke malam. Itu bagi surirumah sepenuh masa.
Untuk yang bekerja, khidmat mereka diperlukan bagi tugas dipejabat.
Hebat bukan?

Aku pernah cuba menilai kudrat wanita sebelum ini. Bekerja di pejabat dan menyiapkan kerja dirumah .... hasilnya aku keletihan yang amat sangat.

Dan buat aku terfikir, kaya dan indahnya ciptaan Tuhan.
Wanita yang bersifat lemah lembut mempunyai kudrat yang jauh lebih hebat dari lelaki... mereka mampu uruskan hampir semua kerja yang diberikan. Istimewanya wanita.

Walaupun jiwa dan perwatakan wanita itu lembut, mereka mampu membuat lelaki menangis... mengeluarkan air mata, melutut dan merayu.
Membuatkan lelaki hilang kata kata, hilang arah... hilang tujuan hidup.

Hebatnya wanita.

Mereka diperlukan oleh lelaki..
Tanpa mereka, hidup lelaki akan kekosongan.. sunyi. Hidup akan jadi tidak bererti sepenuhnya.

Jadi lelaki tak perlulah ego hanya untuk nampak macho...  ego anda boleh hancur hanya kerana wanita. 
Akui sajalah wanita memang istimewa.
Wanita dijadikan sebagai peneman.. bukan mangsa belasahan bila marah, bengang dan baran.
Kepada lelaki yang di luar sana yang suka memukul wanita ... tak kira isteri atau kekasih, anda patut malu kerana anda hanyalah seorang pengecut... hanya berani memukul kaum yang lemah, yang banyak mengalah, yang banyak bersabar dan berkhidmat untuk anda selama ini.

Dan kepada wanita... TAHNIAH kerana perananmu di hargai.

Masih tercari cari, apakah dunia juga mengiktiraf  -  "Hari Jantan atau Hari Lelaki Sedunia"?.

Putus C.I.N.T.A

C... cintaku yang satu
I... impian kan nyata
N... nikmat yang berbeda
T... tanpa pengertian
A... antara kau dan aku

Lagu cinta kenangan silam - xpdc

Cinta pada tuhan, cinta pada alam, cinta pada negara dan yang pasti cinta lebih banyak dikaitkan pada insan. 

Siapa yang tak pernah putus cinta?
Pasti ramai yang ada pengalaman putus cinta... samada rasa cinta pada kekasih gelap atau cerah... dua duanya akan berikan impak yang hampir sama. Jika mental atau emosi kuat si mangsa akan tabah mengharungi hidup seterusnya tapi jika gagal tak mustahil si mangsa akan jadi separuh gila... gila bayang? mungkin.

Cinta tu terlalu tinggi nilainya.
Kerana cintalah manusia sanggup buat apa saja... apa saja untuk memenangi hati orang yang dicintainya.
Kerana pengorbanan yang besar itu jugalah akan menyebabkan manusia menjadi kecewa yang teramat sangat bila cintanya ditolak.  Tapi itu cinta pada seorang kekasih.

Cinta akan buatkan si pecinta berada di alam khayalan... terawang awang dengan ilusi indah. Kata orang  cantik dan menarik serba serbi hatta kentut menjadi wangi. Itulah kelebihan penangan cinta. Cinta akan lebih berseri bila diselitkan dengan adegan tambahan - merajuk, memujuk, menggoda.. walaupun kadangkala ianya tidak perlu.

Berlainan dengan cinta pada rakan atau teman. Cinta pada teman masih ada batasnya. Kerana cintanya itu, dia akan sanggup menolong, membantu teman dalam kesusahan tanpa mengharapkan apa apa balasan. Tapi ianya akan menjadi satu kepuasan bila melihat teman atau rakan pulih dari kesakitan atau tekanan. Cinta itu indah bukan?


Cinta pada teman juga ada masa timbulkan rasa kecewa.
Kecewa bila teman pergi meninggalkan kita... hilang sunyi seribu bahasa.
Tiada lagi cerita atau khabar berita yang selama ini menggamatkan suasana.
Lebih mengecewakan bila maaf dihulur tidak disambut
Dan cinta pada teman hanya menjadi kenangan silam

Bagaimana cinta anda?

Monday 7 March 2011

Suasana sepi dan sunyi

"Suasana sunyi dan sepi
Bagai mengerti perasaanku
Yang kerinduan kerana ku berjauhan
Dengan dia yang aku sayangi"




Korang ingat lirik lagu kumpulan Febians ni?.. lirik ni lah antara yang aku minati, senikata yang mudah dan menunjukkan banyak persamaan dengan keadaan diri aku yang selalu kerinduan..


Rindu pada anak
Rindu pada teman
Rindu pada kehidupan aku yang dulu

Malam waktu paling mudah untuk aku feeling. Suasana yang tenang buat aku menghayati rangkap demi rangkap sambil memikir kekurangan diri.. apa yang aku mahukan.
Kelebihan yang ada pada diri bukan sesuatu yang boleh dibanggakan... tapi hanya mengundang sifat riak dan takabur..

Aku berpegang pada satu prinsip mudah :  "Low Profile, High Profit".

Tak ada apa yang perlu dibanggakan dengan kelebihan diri. Sebaiknya bersederhana dalam segala galanya.

Aku cuba bersederhana... tapi rindu buat aku menjadi tak menentu, menggila. Segala gala boleh bertukar dalam sekelip mata. Aku boleh jadi lebih pendiam, banyak berfikir, hilang mood untuk bergaul.... segala galanya kerana rindu. Rindu juga mampu menukar karekter aku menjadi aggressive terutamanya bila di provoke oleh teman yang kurang mengerti atau saja tidak mahu memahami yang aku perlukan sedikit privacy.

Rindu paling dinanti bila waktu malam bersendirian di beranda rumah.
Memerhati bintang dilangit dan ditemani bunyi cengkerik.. semuanya cukup nyaman dan tenang.
Berfikir tentang kehidupan dan seseorang... menikmati udara segar hingga lewat malam.

Semuanya buat aku jadi lebih rindu dan sayang
.

Hujan oh hujan


Jam 5.11 petang... suatu yang menarik bila hujan turun renyai renyai..

Aku dapat dengar bunyi guruh..sayup sayup. Burung-burung berterbangan balik ke sarang.. katak galak berbunyi. Elok juga kalau dapat tabur baja waktu hujan... kalau tak aku pulak yang termenung di beranda.

Langit gelap tapi masih ada sinar mentari..... akan muncul ke pelangi petang?

Pelangi petang??

Aku semacam pernah terdengar perkataan tu.... ye memang jelas aku sering dengar perkataan tu kebelakangan ni.. bukan saja perkataan tapi lebih tepat lagu yang bertajuk "Pelangi Petang" nyanyian Allahyarham Sudirman Hj Arshad.

Lagu tu mengingatkan aku pada seseorang... yup pada dia.

Sedar atau tidak banyak perkara yang berlaku di sekeliling aku akan kembali kepada dia.

Pelangi petang mengingatkan aku pada dia... menyegarkan rasa rindu padanya... pada dia di sana..

Dia yang istimewa pada ku... dia yang banyak berbudi pada diri ku.. terima kasih e.

Cuti juga perlu berbudi

Cuti lagi... hari ni masuk hari ke 4 aku bercuti... Ahad cuti sempena Birthday Sultan Terengganu... hari ni sempena birthday aku... aku anjakkan dari bulan September.

Orang lain birthday tiup lilin... aku pegang cangkul tanam pisang.. gaya hidup orang tua meniti usia

Tapi sebetulnya hanya orang yang sabar, rajin saja yang boleh hadap kerja kerja begitu..dengan panas terik matahari.. aku membanting tulang... selesai 16 batang pokok pisang aku kerjakan.

Setidak tidaknya perasaan aku pada dia akan hilang buat sementara waktu.. asal aku jangan pandang awan memutih, langit biru... aku akan jadi mudah hanyut dibuai perasaan sedih.

Hidup ni mesti berbudi... dengan amalan ibadah yang tak seberapa, apa lagi yang boleh menolong bila dipanggil tuhan kelak. Berbudi bukan hanya pada manusia tapi juga pada bumi. Hasilnya bukan hanya untuk kita tapi semua makhluk tuhan..

Budi yang baik akan dikenang sampai ke mati... berbudi bukan hanya setakat wang ringgit tapi tenaga, nasihat, sokongan, bantuan pada sesiapa saja. Budi inilah mengenangkan pada seseorang. Seseorang yang cukup baik budinya. Ikhlas menolong jauh sekali nak merungut... kecuali dengan niat bergurau.

Seseorang yang kini jauh... bahagia di sana.

Aku hanya mampu berdoa semoga dia sekeluarga akan sentiasa dirahmati Allah atas kebaikannya. 

Sunday 6 March 2011

Masihkah kau ingat

Hari ni genap sebulan lebih dia meninggalkan aku di sini.

Meninggalkan aku kerana atas alasan yang lebih baik demi keluarga. Aku sebagai rakan baik juga setuju dan sanjung pengorbanan yang dia tunjukkan walaupun berat hati kehilangan kawan. Tapi apalah daya aku.

Jika dia masih berada di sini, waktu waktu begini aku dan dia akan keluar bersama teman lain...berkeliaran mencari tempat menjamu selera... waktu makan tengahari paling ceria.. penuh dengan adegan kutuk mengutuk, gelak ketawa... dan akulah orang yang paling suka menyakat.

Kini, aku tak akan ketemu lagi suasana meriah begitu. Semuanya jadi kenangan paling indah.

Aku hilang mood untuk keluar lunch bersama teman lain. Hilang seri..

Semuanya jadi basi... tawar..

Aku lebih suka lunch seorang diri di pejabat, menikmati juadah tak seberapa.. sambil terbayangkan waktu dia masih berada di sini. Menyedihkan tapi itulah realiti hidup. Suka atau tidak, terpaksa diterima.

Selebihnya aku akan tidur di atas kerusi ditemani gambar dia yang setia menunggu di atas meja. Gambar yang tak pernah berubah tempat sejak dari hari terakhir dia meninggalkan aku di sini.

Kadangkala aku ambil peluang merenung gambar tu, merenung wajahnya.. wajah seorang yang aku kenali sebagai seorang yang cukup baik melayani kerenah aku di pejabat, seorang yang tidak pernah meninggikan suara pada aku, seorang yang cukup setia mendengar rungutan... mudah tersenyum dan pandai menyembunyikan rasa sedih disebalik perwatakannya.

Aku akui... timbul rasa cinta, sayang dan rindu. Tapi semua masih berbatas.. masih dibawah nilai nilai hukum alam dan agama. Perasaan untuk seorang rakan yang cukup baik dan menyenangkan.. jika tidak kerana statusnya sudah lama aku angkat untuk dijadikan pasangan hidup. Nilai baik yang ada padanya membuatkan aku hormat... perasaan hormat yang menjulang tinggi.

Kerana hormat itulah, aku rela dia meninggalkan aku dengan alasan simpati.. walau jauh di hati aku, aku terlalu merindui dia. Terasa terlalu berat dan siksa bila ditinggalkan.. hati aku mengatakan dia masih memerhatikan aku dari "jauh".. dan aku berharap dia akan muncul kembali dan menemani aku seperti dulu.

Rindu..


Apa kabar dia sekarang? 

Cuaca panas terik diluar sana. Langit biru terang berkilau mengingatkan aku pada dia yang berada jauh di sana.

Adakah dia juga teringatkan aku?
Rindukan aku di sini?

Rindukan cerita cerita merepek aku yang banyak menyakat dia dan buat dia tertawa?

Atau barangkali dia sudah pun lupakan aku.
Lupakan semua kenangan waktu berada di sini dalam sekelip mata kerana hanya ingin jauhkan diri dari aku atas alasan simpati?

Apa juga alasan dia yang pasti aku masih tak dapat lupa semua kenangan bersama dia.
Kenangan aku bercerita... menyakat dia.. buat dia tertawa, berkongsi masalah.. semuanya cukup indah.

Aku dan dia bukanlah sepasang kekasih tapi aku memang cukup akrab dengan dia.

Dia banyak menolong aku, mendengar dan nasihatkan aku... dan aku kebetulannya tak ada ramai kawan baik dan rapat seperti dia.

Masih terbayang di mata ayat terakhir "loosing u, m loosing u"....!

Sekarang aku benar benar kehilangan.. aku rasa keadaan aku lebih teruk kali ini. Jika dulu dia pergi meninggalkan aku di sini tapi kali ini segala gala ditinggalkannya.

Adakah aku terlalu mendesak? bercakap tanpa fikirkan keadaan dia?
Sebetulnya aku bercakap dalam keadaan separa sedar... dua kali aku terlelap atas kerusi sewaktu berbual kerana keletihan bekerja ..tapi aku cuba gagahkan juga supaya dia tidak berkecil hati.. aku bimbang dia fikir aku tak sudi melayan perbualan dia.. 

Aku cuba menjawab semua pertanyaan dia walaupun aku tak mampu berfikir secara baik bila badan terlalu letih dan mengantuk.. akhirnya jawapan aku mengundang bala... aku ditinggalkan sendirian.

Sunyi tanpa berita

Hari ni masuk hari ke 3... bermakna selama 3 hari 2 malam juga la aku langsung tak terima sebarang berita dari dia. Sejak dia buat keputusan untuk berhenti menghubungi aku atas alasan tak mahu aku rasa sedih dan jauh hati sebab dia sekarang ceria dengan ahli keluarga, aku hanya menumpang gembira dari jauh. Dia simpati...?

Tapi benar ke dia langsung tak merindui aku?.. paling tidak teringatkan aku di sini?. Atau dia benar benar nekad kali ni untuk melupakan aku?. Bersedia ke aku untuk kehilangan dia? Dia yang aku sayang, cinta melebihi orang lain.



Aku buntu... aku kehilangan lagi, hilang orang yang aku sayang.... hilang teman bercerita, bertanya khabar.

Jealous? Itu pertanyaan dia yang terakhir.

Tipulah kalau aku kata tidak.

Tapi hakikat bila bercakap benar kadangkala amat perit. Boleh buat sesapa saja jadi serba salah, sedih, menyesal... itulah yang terjadi pada aku.

Realitinya aku kehilangan dia.

Tiada lagi khabar berita..

Tapi jika itulah rencana Tuhan.. tak dapat tidak, aku kena redha. Terima apa saja yang mendatang walau perit dan penat bercakap perkara yang sama..serupa.

Bukan aku tak faham keadaannya yang ada komitmen pada keluarga. Aku juga ada keluarga.. walaupun hakikatnya tak seberapa dan mungkin tak sama seperti orang lain... tapi cukup buat aku faham.

Aku bukannya mahu memisahkan sesiapa, jauh sekali meranapkan apa yang orang telah bina.. itu bukan prinsip hidup aku. Tapi aku hanya sekadar mahu menumpang supaya aku tak keseorangan, ada teman untuk mengadu dan bertukar cerita kisah sedih atau gembira seharian aku di sini.

Jika dia sudah jemu.. tak lagi sudi atas alasan simpati, apakan daya aku.

Aku tidak ada kuasa menghalang... walau aku cuba memujuk dalam diam.

Jika benar dia nekad kali ini, aku hanya mampu ucapkan terima kasih atas segalanya walau aku tak mampu lupakan dia dan semua kenangan selama ini.