Thursday 17 March 2011

Epik Merong Mahawangsa

Aku baru saja tengok filem epik "Hikayat Merong Mahawangsa".

Aku puji kerana KRU Studios ada inisiatif untuk keluarkan filem sebegini. Secara dasarnya filem epik selalunya menelan kos yang besar kerana bukan sahaja penerbit perlu mencari kesesuaian lokasi penggambaran tapi juga pemilihan kostum yang tepat dengan keadaan zaman yang digambarkan dalam filem itu.

Aku bukanlah pakar atau ahli sejarah. Tapi rasanya walaupun bukan dari bidang berkenaan tidak salah untuk berikan sedikit kritikan membina supaya taraf filem tempatan akan lebih berdaya dan realistik. Aku pada mulanya tidak mahu mengkritik dialog yang dituturkan dalam filem ini tapi rasanya mungkin juga aku patut (kritik?).

Samada penuturan (dialog) watak yang dibawa oleh Rahim Razali (bukan en. Abd Rahim tau) sememangnya disengajakan mengikut kehendak pengarah supaya ada unsur humor atau ianya memang ingin menunjukkan keseriusan feel barbarik (barbarian) lanun yang bernama "Kemawas", ia tetap mengundang rasa lucu bila dialog dipertuturkan.

"Orang kampung semuanya berparut"..

Dialog ini menunjukkan tak ada seorang pun yang berada dalam kampung itu tak berparut melainkan berparut belaka.

Lebih memeranjatkan bila Merong Mahawangsa bukan sahaja seorang pelaut hebat mengalahkan Panglima Awang Hitam atau panggilan oleh orang Eropah "Henry THe Black" tetapi juga menjadi lebih hebat dari Munshi Abdullah. Merong mampu berbahasa Latin, Inggeris dan Cina... mujur Empayar India tidak terlibat dalam kebangkitan Empayar Langkasuka jika tidak pasti Merong juga boleh bercakap Tamil atau Hindustan.

Jika tidak salah semasa permulaan Kerajaan Langkasuka, bahasa penuturan adalah bahasa Sanskrit atau Melayu Lama?. Aku pun kurang pasti tapi yang perlu ditegaskan Semenanjung Emas ketika itu menjadi tumpuan masyarakat pedagang dari seluruh pelusuk dunia. Dan pernah dikatakan masyarakat pedagang baik dari Benggala atau China mampu bertutur dalam bahasa masyarakat di sebelah sini sebagai bahasa perniagaan dan percakapan seharian.

Tapi sebaliknya Merong pula yang terpaksa bertutur bahasa Cina jika mahu berbual dengan Laksamana dari kerajaan China dan berbahasa Inggeris bila bercakap dengan wakil kerajaan Rom. Canggih bukan? Hehe.

Penerbit atau pengarah filem epik juga tidak boleh lokek bila mengarah filem sebegini. Cara pementasan armada laut yang datang dari negara China dan Rom sepatutnya dibuat dengan teliti. Mungkin satu replika kapal dari Rom dan China diperlukan dan selebihnya dibuat menerusi teknik CGI. Ntah aku tak faham bagaimana cara dilakukan tapi aku pasti kebanyakkan penerbit filem epik sebegini akan menggunakan teknik tersebut kerana untuk mengadakan model sebenar dalam jumlah yang banyak memerlukan kos yang besar.

Agak menggelikan hati bila melihat tentera Rom bersama putera raja dengan diiringi oleh beberapa orang pengawal.. begitu juga wakil dari China. Atau aku yang tidak perasan adanya armada besar dalam filem?. Sejarah mencatatkan setiapkali Laksamana China belayar ke satu satu destinasi hatta ke Selat Melaka, beliau akan diiringi oleh berbelas kapal tapi dalam filem ini Laksamana diiringi oleh sejumlah kecil tentera tanpa menunjukkan kapal dari pihak bala tentera China.

Adegan perang juga agak lemah..kamera memfokuskan pada beberapa orang pemanah dari pihak Geruda dan anggota tentera Rom tapi bila bilangan anak panah yang berterbangan mencecah ratusan mungkin ribuan. Mungkin untk menjimatkan kos dari segi pengambilan pelakon tambahan tapi pendekatan agak kurang logik. Pemanah juga kurang bertenaga.. busur ditarik dengan kurang bersemangat..tidak menampakkan keadaan dalam peperangan. Dan mungkin lebih menampakkan unsur kurang logik bila Merong memanjat menara peninjau dan kemudiannya diterbalikkan oleh sejumlah besar anggota lanun Geruda.. dan sebaik menara terbalik.. semua lanun lanun keparat terbunuh... wow ajaib.

Merong Mahawangsa juga seorang yang kelakar bila cuba mengelak dari dituduh sebagai seorang pengacau oleh Laksamana perang China bila mengatakan

"Orang yang membuat kacau itu mungkin saudaranya Merong Mahasuasa"..

Apa pun usaha untuk menghasilkan filem epik bukan mudah dan satu pujian harus diberikan kepada penerbit KRU Studios cuma sewajarnyalah mereka perlu mendapatkan kajian yang menyeluruh dan kukuh dari pakar sejarah agar jalan ceritanya lebih mantap dan berkesan.

Nostalgia : Zaman kanak kanak

Esok cuti bagi negeri Terengganu.. cuti hujung minggu.
Selalu hari khamis aku dah sibuk plan apa yang aku nak buat time cuti.. rutin biasa berkebun tapi kali ni jadi malas pasal dah hampir setiap hari hujan. Bukan tak boleh buat keja time hujan tapi hujan sekarang ni dah tak macam dulu.. kena air hujan sikit mudah jadi pening kepala... air hujan banyak asid kot.

Aku ingat kalau dulu time aku kecik kecik..waktu hujan lar paling ditunggu... waktu untuk berseronok. Masa tu aku tinggal di rumah kampung bertiang bulat.. hanya ada satu bilik tidur.

Di rumah tu lar aku tinggal dengan umi, abang, kakak dan adik lelaki. Rumah kampung yang daif... dinding papan yang tak bercat.. lantai jarang. Bahagian dapurnya sedikit senget.. Waktu itu umi gunakan dapur kayu.. tiapkali memasak, umi akan hidupkan api dan tiup sampai berterbangan abu. Tiang rumah agak tinggi.. lepas untuk menyorong basikal ke bawah rumah dan di sandar pada tiang.

Bilik air rumah aku waktu itu terletak di luar rumah di bahagian dapur..tak berbumbung tapi hanya ditutupi dengan zink. Manakala lantainya papan.
Di situlah tempat umi membasuh baju. Waktu itu mana ada mesin basuh, umi hanya membasuh dengan tangan. kudrat umi kuat.

Waktu itu seingat aku belum ada paip air, selalunya waktu aku akan mandi perigi dibawah pokok rambutan yang tak jauh dari rumah. Malahan tandas pun tak jauh dari situ. Tandas curah. Antara tandas moden yang ada dikampung pada waktu itu... belum ada tandas pam. Tandas itu umi bina sendiri hasil tunjuk ajar nenek.

Selalunya kalau waktu hujan suasana kampung hening, sunyi dari gelak kanak kanak sebaya...tapi udaranya segar, nyaman. Jika umi izinkan aku akan mandi hujan dengan adik.. berdiri di buju atap dengan hanya memakai seluar pendek.. melompat lompat dan gelak ketawa bersama adik... air hujan mencurah curah di atas kepala... sakit tapi seronok.

Zaman anak anak sungguh indah.. aku hanya akan naik bila umi memanggil. Dengan terketar ketar kesejukan.. mandi hujan sampai kecut jari.

Waktu waktu begitu jugalah selalunya aku dan adik akan buat kapal kertas.. kami campakkan dari tingkap dan tengok kapal siapa paling laju.... hanyut mengikut arus air hujan yang mengalir di tanah.

Umi akan buatkan air teh.. dan aku teruskan bermain bersama adik... bermain kereta mainan "WonderBug".

Dan hari minggu juga hari yang aku nanti nantikan kerana pada waktu pagi abang akan mengajak kawannya memasang jala di tepi semak. Abang dan kawan akan pasang jala tinggi tinggi merentangi kawasan semak dan dihujung kiri dan kanan jala di ikat pada tiang buluh. 

Abang dan kawannya akan menunggu tapi jika masih tiada habuan, mereka akan pergi ke hujung kawasan semak... mereka gegar pokok senduduk.. mereka bersorak.. menjerit..!!
Kemudian bertempiaran burung burung lari, berterbangan menyelamatkan diri dan ada yang tersangkut pada jala. Selalu tidak banyak hasil tapi cukup untuk dijadikan habuan kami.

Mereka akan sembelih, buang bulu dan cuci burung tadi. Aku dan adik akan tergelak kerana lucu melihat keadaan burung yang togel kecik.. selalunya abang lebih suka burung tadi dipanggang dan dimakan beramai ramai sambil duduk ditangga.

Hidup kami meriah dan indah. Walaupun miskin tanpa ayah tapi hubungan kekeluargaan kami cukup akrab. Umi selalu ingatkan "kamu hanya empat beradik, kalau umi meninggal umi mahu masing masing jangan pentingkan diri... yang senang bantu yang susah. Kalau adik beradik sendiri yang tak tolong pada siapa lagi nak diharapkan". Kata kata dan ajaran itulah yang kami pegang hingga sekarang. Terima kasih umi.

Monday 14 March 2011

Kahkahkah

Pagi ni aku tergelak besar...
Sungguh aku tak sangka .. sungguh sungguh tak sangka
Selama ni puas aku belek, aku cari, aku intai, aku selak satu demi satu. Tapi tak jumpa ... sumpah memang tak ada.
Tapi kali ni tak perlu aku susah payah... tiba tiba mata aku terpandang pada dia.
Aku tak mengalu alukan kehadiran dia .. tapi tak dapat tidak, ia pasti akan muncul .. satu hari nanti.
Dan pagi ni aku terkejut dengan kedatangan dan kemunculan dia.. perlu ke aku sorok?.
Tapi kenapa selama ni aku tak sedar kehadirannya?.

Alahai
Hadirnya menunjukkan tahap kematangan aku
Tapi dengan adanya ia juga buat aku jadi serba salah ...
Aku masih ingat dulu
Waktu aku berhenti di satu stesen minyak Petronas, seorang awek bertanya pada aku
"Pakcik nak isi berapa?"
"Hijau ke kuning?"

Cett.. di panggil aku pakcik?

Tapi itu dulu.. dan waktu sebelum peristiwa itu berlaku memang aku pernah cari dan intai tapi ia tak ada.. tak jumpa.
Kali ni ia hadir dengan cara aku tak jangka..
Aku tak cari
Aku langsung tak minta
Tapi bila terserempak ... kaget juga aku
Tapi aku reda..
Apa yang aku boleh buat .. umur pun makin meningkat
Terimalah ia seadanya
Kata orang tua tua

....... Telan mati mak, luah mati bapak.

Ye lah.. aku terima kehadiranmu
Semoga dengan hadirmu akan buat aku lebih matang meniti usia dan hari tua
Mudah mudahan akan lebih banyak amal kebaikan yang aku lakukan dan diterima tuhan

....Selamat datang UBAN.

Tsunami Dan Gempa


Pembaca boleh menderma kepada mangsa tsunami di Jepun melalui pembelian t-shirt atau sticker di www.redbubble.com


Jumaat lepas 14 Mac jadi satu gempa bumi yang maha kuat pada ukuran 8.9 skala Ritcher. Gempa bawah laut tu kemudiannya menyebabkan terjadi pergerakan pada permukaan bumi dan mencetus tsunami yang besar. Dua hari sebelum kejadian saintis sudah sedia maklum akan terjadi bencana tapi mereka galga tentukan bila masa sebenar bencana akan berlaku dan kekuatan bencana tersebut.

Walaupun Jepun sebuah negara moden berteknologi tinggi yang mementingkan pembangunan mengikut aspek kejuruteraan tanpa mengabaikan prinsip keselamatan namun negara itu masih gagal membendung jumlah kematian yang besar dalam kejadian bencana alam kali ini.


Dengan kekuatan gempa yang paling hebat dalam sejarah 140 tahun Jepun, ianya mengakibatkan terjadinya ombak besar - tsunami yang mencecah 10 meter tinggi. Satu ketinggian yang sukar diterima akal pada mulanya. Ramai yang mentafsirkan akibat suasana panik, andaian ketinggian ombak yang melanggar kawasan Sendai dibuat atas dasar kekalutan. Tapi kebenaran hal ini dapat dilihat melalui media eletronik khususnya melalui laman web www.youtube.com

Walaupun Jepun mempunyai sistem amaran awal berlakunya tsunami dan sentiasa mengadakan latihan berkaitan gempa bumi serta tsunami tapi bencana alam ini mampu mengalahkan kehebatan teknologi Jepun. Dan setakat hari ini angka korban bencana dianggarkan melepasi 10 ribu orang. Namun jumlah angka korban mungkin jauh lebih sedikit berbanding dengan bencana tsunami yang melanda Aceh pada tahun 2004.

Tsunami kali ini bukan hanya di Jepun tapi antara negara turut menerima tempias adalah Filipina, Rusia, Korea Utara dan China. Malahan dikatakan China terlebih dahulu menerima gempa di wilayah yang bersempadan dengan negara jiran.

Manakala di Malaysia, penduduk yang tinggal di sepanjang pantai di Terengganu khususnya di kawasan Kemaman meninggalkan rumah masing masing dan sebaliknya bermalam dirumah sanak saudara yang jauh di kawasan pendalaman kerana bimbangkan ombak tsunami yang dijangkakan akan melanda kawasan pantai Semenanjung sekitar jam 7-8 malam.

Tapi apa yang mereka bimbangkan tidak menjadi kenyataan cuma sekadar ombak besar dari kebiasaan yang melanda kawasan peranginan Batu Hitam di Beserah dan beberapa tempat lain termasuk air laut yang melimpah hingga ke kawasan jalan raya di pantai Batu Buruk, Terengganu.

Dan hari ini saintis menjangkakan Jepun akan dilanda musibah gempa bumi dalam masa dua hari lagi dengan kekuatan dianggarkan pada 7 pada skala Ritcher. Bagaimanapun saintis masih gagal memastikan kawasan yang akan dilanda gempa bumi secara tepat.

Jepun setakat ini bukan sahaja dilanyak dengan bencana alam seperti gempa bumi dan tsunnami tapi juga kebocoran bahan radioaktif di loji Fukushima Daiichi yang terletak 240km dari Tokyo. Apa yang dikhuatiri sekiranya kebocoran radioaktif tidak dapat dikawal, para saintis menjangkakan akan berlaku satu lagi peristiwa yang menyamai insiden "Three Mile Island".

Apa pun kita patut bersyukur kerana masih selamat dan dilindungi Allah dari malapetaka yang menakutkan ini.  Dan mengambil kesempatan ini untuk menolong warga Jepun dengan memberi bantuan sekadar yang termampu.