Lama aku menetap bersama ayah di kampung Wakaf Tengah. Tiba masa aku mula bersekolah dan ayah mendaftarkan nama aku di sebuah sekolah di mana dia mengajar - Sekolah Rendah Wakaf Tengah. Sepanjang pembelajaran aku di sana, pencapaian peperiksaan aku tidaklah memuaskan. Aku hanya mengikut ayah pergi dan balik ke sekolah tanpa apa apa tujuan kecuali bermain.
Keadaan ini berterusan sehingga aku naik ke darjah dua. Aku masih gagal menghafal sifir dan menyiapkan latihan sekolah yang diarahkan oleh cikgu. Pernah satu ketika ayah mengugut aku supaya belajar dan menghafal sifir dua dan jika tidak aku tidak berpeluang mengikut ayah ke "fun fair" di kampung berdekatan. Walaupun aku cuba membaca dan menghafal, aku tetepa gagal. Kepala aku begitu benak mengingat nombor nombor yang tertera di kulit belakang buku latihan. Akibatnya aku ditinggalkan oleh ayah di rumah.
Tapi tempat yang paling kerap aku lawat adalah klinik gigi. Tempat yang paling aku takut. Setiapkali sampai di sana aku akan bermain diluar klinik.. berjalan jalan di tepi longkang dan aku hanya akan masuk bila dipanggil oleh ayah. Semasa berada di dalam bilik, semuanya menggerunkan... menakutkan aku. Aku takut melihat doktor dan nurse yang berpakaian serba putih dan menutup muka. Bila saja aku diletakkan di atas kerusi, aku akan menggelonsor turun... aku akan menjerit sekuat kuat hati.
"Tak nakkkkkkk"..
Ayahlah orang yang paling teruk menerima malu. Akhirnya ayah akan duduk terlebih dahulu di atas kerusi dan meriba aku sambil memeluk dari belakang. Sebelah tangan ayah akan memegang tangan aku dan tangannya yang lagi satu akan memegang dahi aku supaya aku bersandar di dadanya. Kaki ayah juga akan mengunci kaki aku supaya tidak meronta ronta. Malahan nurse juga terpaksa membantu memegang kepala supaya senang doktor menyucuk ubat bius ke gusi aku.
Aku masih ingat sakitnya bila dicucuk. Gusi aku terasa bengkak dan mulut aku herot. Bibir aku seolah tebal seperti bibir negro. Aku tak boleh bercakap dengan betul.. terasa pelat. Aku kemudiannya akan bermain semula diluar klinik sehingga nama aku dipanggil sekali lagi. Dan biasanya aku akan didukung ayah untuk dibawa ke dalam bilik rawatan kerana aku akan menangis dan meronta di luar klinik.. membantah dibawa masuk untuk berjumpa doktor. Sememangnya aku serik. Tiapkali tiba giliran aku pasti pesakit lain yang sedang menunggu giliran diluar boleh mendengar aku menjerit sakit dan menangis. Aku tak peduli pada orang lain kerana aku memang takut.
No comments:
Post a Comment